Tujuan Menulis

Tujuan menulis mahu merebut redha Allah dan redhanya suami. Selain itu,mahu meneladani saranannya as-syahid Syed Qutb yang berbunyi,"Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala, namun satu tulisan dapat menembusi ribuan malah jutaan kepala."

Mudah-mudahan, travelog ini mampu menjadi perintis kepada budaya mengarang berbentuk travelog di kalangan Wanita Melayu khususnya. Kerna kita wanita mampu menggoncangkan dunia, hanya melalui tulisan. Ini MISI saya, biizni Allahu ta'ala.

Mudah-mudahan juga, perkongsian travelog pengalaman ini mampu menjadi asbab kepada seseorang, alangkah nikmatnya dan indahnya hidup apabila mengamalkan Agama. Doakan VISI saya ini berjaya. Terima kasih.

Selamat membaca dan selamat berkongsi rasa.

Tuesday 5 August 2014

CERPEN: HIJAB

Rambut dan Bersalam.

“Kenapa Asyik pakai tudung je?” Soal Najiha sepupu saya. Saya fikir, barangkali dia baru ada kesempatan untuk bertanya. Mungkin selepas memerhatikan saya bertudung setiap kali pulang ke kampung. Akhirnya, Najiha nekad bertanya semasa saya bercuti beraya di kampung suami baru-baru ini. 
Saya hanya tersenyum tanpa sempat memikirkan ayat yang baik lalu spontan menjawab, “Kena tutuplah, rambutkan aurat kita.” 
“Bukankah Kak Zie di dalam rumah, kenapa perlu pakai tudung juga?” Najiha masih keliru. 

Daripada soalan ini, dapat saya simpulkan pemahaman asasnya berkaitan aurat hanya perlu ditutup apabila berada di luar rumah sahaja. Saya tidak salahkan Najiha kerana dia baru berusia 9 tahun, tetapi agak risau juga sekiranya tidak diperbetulkan kefahamannya, salah tanggapan itu akan dibawa sehingga ke dewasa.
Saya cuba memberi lagi penjelasan kepada Najiha, “Walaupun kita sudah berada di dalam rumah, tetapi masih ada mereka yang bukan muhrim bersama kita. Kita wajib untuk tutup aurat kita tau.” Sambil kami membilang dan menyenaraikan beberapa nama ipar, biras dan pakcik-pakcik sebagai contoh. 
“Kenapa nak tidur pun kena pakai tudung?” Soalan makin rumit untuk dijelaskan. 
Rumah kampung mertua di Kedah hanya ada satu bilik. Apabila ramai yang pulang ke kampung dan saudara-mara berkumpul untuk bermalam bersama, ruang tamu akan penuh dengan hamparan toto dan semuanya berpakat tidur di luar secara berjemaah. Selalunya saya seboleh mungkin akan cuba tidur di dalam bilik, bukan kerana mahukan keselesaan tilam dan kipas, tetapi lebih kepada mahu menjaga aurat. Apakan daya kadangkala terpaksa juga bergilir, maka tidurlah dengan memakai tudung dan pakaian yang agak sempurna.
Kakak Najiha, Natasha dari tadi kelihatan memerhati akan perbualan kami. Saya berharap agar penjelasan berkenaan aurat sekurang-kurangnya difahami oleh Natasha yang telah berusia 12 tahun. Dengan izin Allah jua.
Saya teringat akan kata-kata seorang bekas pelajar tingkatan 3 MRSM Taiping yang mendapat keputusan cemerlang pada PMR dan akan ke MRSM Pengkalan Hulu untuk program khas. Sebelum berpisah dia telah datang berjumpa dengan saya dan berkata,”Terima Kasih cikgu kerana menjadi idola saya. Cikgulah inspirasi saya untuk memakai tudung labuh. Apa sahaja gaya cikgu nampak comel je.” Walaupun mahu tersedak rasanya apabila mendengar pujian melambung sebegitu, segera saya mengucapkan ucapan Astaghfirullah, agar Allah ampuni dosa saya jika saya terbabas muncul riak. Na’uzubillah. 
 
Harapan saya biarlah ianya menjadi salah satu dakwah ‘bil hal’ iaitu dakwah melalui perbuatan. Mudah-mudahan Allah menerima amalan kecil ini sebagai amal baik bekalan untuk saya di akhirat  kelak. Tiba-tiba, teringat pula perbualan saya dengan biras dan adik ipar, yang saya tidak akan bersalam serta akan memakai tudung di rumah. Hal ini bagi mengelakkan suami saya menanggung dosa dek kerana kesilapan saya. 
Saya sangat sayangkan suami saya dan saya hanya mahukan dia masuk ke syurga Allah tanpa ‘hijab’. Makanya saya akan sedaya upaya menjaga aurat dan batasan pergaulan semasa bersama keluarga besar. Diharapkan penjelasan saya ini dapat memberi pencerahan sekaligus memohon agar Allah membuka hati sesiapa sahaja yang mahu mencari keredhaan-Nya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, pakcik-pakcik dan sepupu sudah faham keadaan saya dan tidak menghulurkan salam apabila berjumpa. Baik bertemu semasa hari raya ataupun di masa-masa yang lain. 
Astaghfirullah, Subhanallah, Allahu Akbar. Cerita pendek ini, saya nukilkan tanpa mahu mengguriskan hati siapa-siapa jauh sekali mahu wujudkan sengketa. Anggaplah ianya sekadar amanah seorang ‘da’ie kecil‘ daripada yang Esa sebagai usaha. Biarlah hasil atau impaknya, besar atau kecil ditentukan oleh Allah swt. Sungguh saya tiada daya upaya melainkan dengan izin-Nya. Saya sentiasa ingat akan kata-kata kakak usrah saya, “Ingatlah yang Allah tidak melihat banyaknya kejayaan yang kamu capai, tetapi Allah akan bertanya apakah usaha yang kamu telah perbuat?”

Allah ada berfirman yang bermaksud, 

 "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah al-Ahzab 33:59) 

Sebagai tambahan boleh juga dirujuk Surah an-Nur 24:31 dan Surah al-A'raf 7:26 berkaitan dengan saranan daripada Allah SWT tentang aurat.

Allahu'alam. 

Penulis Asal: Noor Azura
Editor: Ummu Mar'ie @MYNA

***********************************
Dek masih dalam mood berhari raya, mari kita lihat tujuh (7) saranan yang baik ini dari seorang hamba Allah. Didoakan pahala berganda buat beliau atas perkongsian ilmu ini! Sumber asal di sini

Tujuh Amalan Yang Patut Dihindar Ketika Berhari Raya

(1)


(2)

(3) 
 (4)

(5) 
 (6)

(7) 

 

~anamusafirminitaly~ 
Ummu Mar'ie @MYNA
9 Syawal 1435H

No comments:

Post a Comment