Tujuan Menulis

Tujuan menulis mahu merebut redha Allah dan redhanya suami. Selain itu,mahu meneladani saranannya as-syahid Syed Qutb yang berbunyi,"Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala, namun satu tulisan dapat menembusi ribuan malah jutaan kepala."

Mudah-mudahan, travelog ini mampu menjadi perintis kepada budaya mengarang berbentuk travelog di kalangan Wanita Melayu khususnya. Kerna kita wanita mampu menggoncangkan dunia, hanya melalui tulisan. Ini MISI saya, biizni Allahu ta'ala.

Mudah-mudahan juga, perkongsian travelog pengalaman ini mampu menjadi asbab kepada seseorang, alangkah nikmatnya dan indahnya hidup apabila mengamalkan Agama. Doakan VISI saya ini berjaya. Terima kasih.

Selamat membaca dan selamat berkongsi rasa.

Tuesday 12 August 2014

Selamat Hari Lahir si Adik Bongsu.

Dedikasi istimewa
Warkah untuk Adik-adik Kak (^_^)


Coretan imbau kenangan lalu khusus buat adik bongsu Kak Ina.

Assalamualaikum adik kak yang Soleh Muhammad Sharifuddin Yahayudin, teringat sangat-sangat semasa adik lahir, mak dan abah benarkan kak pilih nama untuk adik. Nama adik, kak Ina yang cari ilham dari Allah jua. Zaman budak-budak masih berhingus, ada hati mahu pilih nama-nama yang best dan baik untuk adik yang bakal lahir. (hihi). Inilah hasil kesan daripada tarbiyah dan Usrah Ustazah Maznah di asrama kami. Semasa itu syukur dan rasa seronok sangat Allah sahaja yang tahu, inilah permulaan sejarah namamu. (^_^)

Adik lahir, kak masih di Asrama di Kuala Pilah. Belum ada peluang cuti sekolah. Kak Ina masih ingat selepas adik lahir seminggu, kak baru tahu. Kak tak sabar, hari itu, duit syiling hasil kumpul sedikit-sedikit, terus kak guna untuk telefon mak dikampung. 

Sebelum itu, mahu imbau sedikit kenangan. Masih segar diingatan kak, dalam asrama putri ada 2 'public phone' yang lekat di dinding lorong di mana kami pelajar puteri selalu lalu disitu. Dari dewan makan ke asrama. Kadang-kadang satu sahaja telefon yang berfungsi elok. Selalunya, Kak Ina pilih untuk telefon di waktu malam kerana kadar caj lebih murah berbanding waktu siang. Almaklum Perak - Negeri Sembilan. 

Namun begitu, selalunya malang buat Kak Ina. Giliran sangat panjang, penuh dan jarang ada peluang untuk guna. Aduhailah, bertambah malas jadinya mahu turun naik tangga dari tingkat tiga! Letih juga dibuatnya. Selalunya, ralat hati dek ada antaranya bergayut berjam-jam bukan menelefon ahli keluargapun! Akhirnya, sebulan sekali atau maksimum dua kali kak akan berusaha menelefon mak. Itulah, apabila manusia tidak pandai menghargai masa dan menghormati keperluan orang lain yang memerlukan. Allahu'alam.

Keting..Keting.. Satu-persatu kak masukkan duit syiling hingga satu ringgit. Hari itu, Kak Ina memang tidak sabar tunggu waktu malam. Nekad telefon juga kampung, syukur Alhamdulillah dapat bercakap dengan mak.  Kata mak sudah selamat bersalinkan adik seminggu yang lalu. Semasa itu ada juga rajuk dihati, sudah seminggu baru kak dapat tahu. Tapi, tak mengapa, zaman dulu tahun 1996, mana ada 'handphone'. Dan Kak Inapun faham keluarga kita sukar dan sulit mahu telefon ke pejabat sekolah. Justeru, malang benar bagi anak-anak zaman sekarang yang sudah ada telefon di tangan (cangih-manggih pula tu), masih tidak mahu dan malas telefon mak dan abah mereka. Allahu'alam.

Hmm, seingatnya tahun itu Kak Ina akan tempoh PMR. Rajuk hanya tinggal kenangan. Syukur sudah lama pulih. (Astaghfirullah, ampuni dosaku Ya Allah). Dipendekkan cerita, penantian kami semua termasuklah  Kak Ina yang jauh beratus kilometer berakhir. Mak selamat melahirkan adik kami yang comel dan sihat sempurna. Memang inilah rezeki terakhir kami yang Allah tentukan. Mak tidak mengandung lagi. Maknanya adiklah anak bongsu mak dan abah. (Best ke jadi bongsu? hihi) 

Mak dan abah tatang adik ibarat minyak yang penuh. Lagilah, adik beradik yang lain. Digomol, dicium, didukung. Allahu, bertuah adik-adik yang lain yang tinggal dirumah semasa itu (cemburulah tu!(^_^). Mana tidak cemburu, 4 adik-adik yang lain semasa mereka lahir, Kak Ina belum lagi ke asrama. Hanya dengan adik Sharifuddin, Kak Ina tidak dapat melihat dan menolong mak jaga adik lama-lama. Comel dan indahnya kalau dimbas semula segala kenangan kan? Ini baru daripada satu kepala. Kalau kita semua dapat berkumpul semula, dan minta masing-masing keluarkan kenangan, boleh buat satu buku cerita kita satu keluarga kan? (Perasan dah mai dah!)

Lagi kenangan Kak Ina nak imbau, semasa mak berpantang, Abahlah orang yang paling sibuk. Kak Ina semasa ini sangat seronok, sebabnya dapat lihat sendiri mithalinya abah kita. Pernah abah bercuti untuk jaga mak kalau tak silap kak. Nampak, Abah sungguh-sungguh jaga mak semasa pantang. Ada satu hari, abah bawa Kak Ina dan adik-adik lain pergi ke sungai di kampung Atok (Tak ingat adik yang mana). 'Menyelam sambil minum air'. Kami seronok dapat mandi sungai, Abah pula sibuk basuh lampin bayi. Yang berak, yang kencing, semua mudah. Abah kocak-kocak dalam air sungai, gonyoh-gonyoh dengan sabun cap kapak dan bilas, selepas itu selesai. Allahu bahagianya saat itu. 

Abah bukan setakat membasuh, abah pernah memasak. Walau sekali-sekala sahaja Abah masak, Kak Ina tahu masakan Abah memang sedap dan itulah yang selalu kak nantikan. Lagi satu, mahu lihat betapa sayangnya abah kepada anak-anak dia, apabila suatu hari kak tersilap main-main gunting bulu mata adik. Allahu, sudah tidak ingat bulu mata siapalah yang jadi mangsa. Geram sangat tengok bulu mata adik cantik.
Tak semena-mena, punyalah kreatif, ambil gunting, gunting. "Ya Allah! Apa kak buat kat adik?" Abah memang berang masa itu. Berdosa sangat bila dikenang. Aduhai, akhirnya segalanya menjadi kenangan terindah. bulu mata adik makin tumbuh cantik. (Siapalah yang perasan nanti (^_^)). Cukuplah dulu kenangan-kenangan itu. Sampai masa yang sesuai akan dibongkar semula dengan Izin Allah.

Berbalik kepada adik Kak Ina Sharifuddin. Untuk makluman adik, kalau tak silap kak semasa adik lahir, kami dua atau nama untuk adik. Arwah Abah ada pilih nama Muhammad Izzuddin (kalau kak tak silap). Tapi, sangat baik dan mulianya hati mak (kak rasa mak pujuk arwah abah kita kut :). Kak Ina ada merayu pada mak sejak mak sedang mengandung lagi. lebih kurang macam ni kak kata, "Mak, nanti kalau adik lahir, Mak bagi Kak Ina pilihkan nama untuk adik ya. Kak Ina rindu dan sayang nak tengok adik. Kak Ina duduk jauh, tak dapat nak tengok adik selalu."(huhuhu, sedihkan?)

Akhirnya, tercetuslah nama MUHAMMAD SHARIFUDDIN BIN YAHAYUDIN. Begitulah alkisah sejarah namamu 18 tahun yang lalu. Kak Ina doakan akhlakmu semulia namamu, dipanjang umur dengan penuh berkah Allah, dimudahkan Allah menuntut ilmu yang baik penuh di dada, dimurahkan rezeki dan tercapai apa jua azam yang baik di masa hadapan. Selamat Hari Lahir, adik. Jadi anak yang Soleh, jadilah adik yang baik. Doa juga buat arwah Abah. Al-Fatihah...

Nota: Nak beri kredit kepada nama-nama, insan-insan yang disebut dalam tulisan ini, didoakan Allah sentiasa memelihara dan mempermudahkan segala urusan sehari-hari mereka. Aamiin, aamiin, Ya Robb.

Yang ikhlas, 
Kak Ina si Kakak Sulung yang jauh diperantauan sebagai tanda ingatan kekal abadi hingga akhir nyawa.

~coretanmusafirminitaly~
Ummu Mar'ie @MYNA
12 Ogos 2014 



No comments:

Post a Comment