Tujuan Menulis

Tujuan menulis mahu merebut redha Allah dan redhanya suami. Selain itu,mahu meneladani saranannya as-syahid Syed Qutb yang berbunyi,"Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala, namun satu tulisan dapat menembusi ribuan malah jutaan kepala."

Mudah-mudahan, travelog ini mampu menjadi perintis kepada budaya mengarang berbentuk travelog di kalangan Wanita Melayu khususnya. Kerna kita wanita mampu menggoncangkan dunia, hanya melalui tulisan. Ini MISI saya, biizni Allahu ta'ala.

Mudah-mudahan juga, perkongsian travelog pengalaman ini mampu menjadi asbab kepada seseorang, alangkah nikmatnya dan indahnya hidup apabila mengamalkan Agama. Doakan VISI saya ini berjaya. Terima kasih.

Selamat membaca dan selamat berkongsi rasa.

Friday 8 August 2014

Travelog Famili: Ibrah Bau Gas

Ibrah Bau Gas di No. 17, Taman Muhibbah.

Bismillah, Subhanallah, Allahu Akbar.
Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah.

Pada hari itu, tidak semena-mena saya menerima mesej melalui FB daripada jiran belakang rumah di Kajang, Raihan namanya. 

"Salam kak Ina. Rumah kak Ina ada bau gas. Auntie sebelah rumah cakap, dia siap bawa anjing suruh bau."

Walau ringkas mesej tersebut, sudah cukup buat hatiku mula tak keruan. Ketika itu jam di Itali menunjukkan masa 1 petang manakala jam waktu Malaysia lebih kurang 7 malam. Saya sedang kelam kabut di dapur menyediakan makanan tengah hari tatkala suami pula sukar untuk diganggu kerana Solat Jemaah Jumaat. Pasti ada hikmah!

Dengan segera kuselit rasa syukur kepada Allah swt. Kerana dengan izin-Nya telah menggerakkan hati jiran kami untuk terus menghubungi kami yang jauh beribu-ribu batu. Siapa menyangka, baiknya jiran dan semakin sedar inilah fungsi  mudahnya apabila ada teknologi semasa.
 
Mahu dipendekkan cerita, sedang elok sebenarnya saya baru sahaja sampai di rumah. Selepas menghantar dua (2) anakanda Soleh ke surau untuk bersolat Jumaat bersama abah mereka. Belumpun lagi sempat mula memasak. Kebetulan lagi, hari ini adalah hari kebiasaan saya perlu menyediakan masakan lebih sedikit untuk rakan suami sekali. Dia berasal dari Xhinjiang, antara ribuan Muslim Uighur yang sedang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agama Islam di China. Saudara kami Abdul Rahman ini sudah habis tempoh tajaan sejak 3 bulan yang lalu. Allahu'alam.

Mulut dan hati tidak berhenti mengadu bercakap dengan Allah. "Mudahkanlah urusanku disini, mudahkanlah urusan penyewa kami, selamatkanlah jiran kami, dan selamatkanlah rumah kami, Ya Allah. Bantulah kami terhadap perkara yang kami tidak tahu, Ya Allah."

Bukan itu sahaja, tidak keruan memikirkan sempat siapkah makanan tengah hari? Cukupkah garam rasanya nanti? Dimanalah agaknya Baihaqi? Siapalah mahu dihubungi? 

Akhirnya, dalam masa hanya 1 jam segalanya selesai dengan izin Allah swt. "Happy ending". Pengajaran hari ini cukup berharga. Jarak walau beribu batu antara Itali dan Kajang. Tidaklah mustahil rupanya. Janji Allah, "Kun fayakun". "Inna ma'al 'usriyusra". Apabila Allah kata jadi, maka tetap akan menjadi. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran pasti ada kemudahan. 

Saya terlalu fanatik dan yakin, bekalnya tidak lain dan tidak bukan ialah usaha dan tawakkal. Apakah usaha saya ketika itu:

1) Segera bertindak! - Kebetulan Allah menjelmakan hanya sahabat saya, Cik Ly yang sedang 'online'. Lalu, saya menulis mesej kepadanya mohon pertolongan untuk hubungi Baihaqi. Semasa itu, tidak langsung terlintas difikiran saya untuk menggunakan whatsapp atau FB terus ke Baihaqi. Kerana fikir saya akan melambatkan masa.

2) Mesti bertenang! - Terlupa betul ketika itu saya perlu membaca doa ditimpa musibah. "Innalillahi wainna ilaihiroji'un. Allahumma ujurni fii musibatii wa akhliflii khairan minha". Sebaliknya, saya hanya  membaca doa penggerak dan bismillah 5 sahaja. Ditampung dengan bacaan Yaasin 9. Syukur kepada Allah, dan terima kasih tidak terhingga kepada sahabat saya, Cik Ly. Dalam mesej-mesej beliau mengingatkan untuk sama-sama bayangkan rumah kami agar selamat semasa membaca yaasin 9. Saya tidak membaca sendirian. Hati tidak begitu tenang dek sambil hendak memasak tomyam. Lalu, saya ajak Kaklong Nawrah dan Ainul untuk sama-sama bacakan dengan ummi. Sekali lagi syukur, anak-anak Syurga Ummi siap bacakan makna dan berulang-ulang. Allahu... (sebak rasa hati)

3) Teruskan Niat asal untuk memberi. (masak untuk tetamu dan suami dengan sungguh-sungguh. Usah dirisau kepada entah apa-apa rasanya nanti).

Tiba-tiba, terdengar bas berhenti. Dag, dig, dug. Jantung bergetar. Ku intai jendela. Kelihatan kelibat sosok tubuh orang dewasa hanya seorang dan lagi dua budak kecil comel. Allahu Allah, terasa syukur pada-Mu lagi ya Allah. Rupanya hanya bertiga beranak turun daripada bas. Eh, mana lagi? Rupa-rupanya, Abdul Rahman tidak jadi datang kerana ada hal.

Masha Allah. Subhanallah, Allahu Akbar! Kita merancang, Allah jua merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. 

Alhamdulillah, Suami sambung bermesej dengan Baihaqi. Kami terima mesej berbunyi, "Jangan risau abang, sudah selesai. Adik-adik dari kampus tolong pergi tengok. Kebetulan kunci pendua kami serah kepada mereka jika ada hal penting." (Oh ya, terlupa pula tadi. Untuk makluman adik yang menyewa rumah kami sedang berada di kampung mereka di Kelantan kerana isterinya telah selamat melahirkan bayi pertama dan sedang dalam berpantang.)

Masha Allah, Tabarakallah, memang kami tidak pernah rasa rugi berada dikalangan sahabat-sahabat wangi syurgawi ini. 

Bestkan jalan cerita yang Allah aturkan?
Allah menguji dan Dia beri duga. Setiap dugaan membawa nikmat tersendiri. Bukan untuk melemahkan kita, namun untuk melihat sejauh mana kita memberi respon apabila diuji. Seperti kata Prof. Muhaya dalam slotnya di Radio IKIM.fm; "Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku kepada kita, tetapi kita boleh kawal bagaimana respon kita terhadap apa yang berlaku." (credit to Kak Asirah atas perkongsian ini di whatsapp).

Kadang-kala, kita manusia hanya mampu berkata-kata, namun apabila diuji berubah ibarat cacing kepanasan. Hilang kawalan diri. Lebih dirisaukan, hilang kebergantungan kepada Allah dan bersangka yang tidak-tidak dibawah paras sedar. Na'uzubillah, Astaghfirullah.

Lalu, berbisiklah pada diri sendiri dengan sesungguh hati dan perasaan, dan berdoa kepada Allah swt:
"Maha Suci Engkau ya Allah, Segala Pujian hanya untuk Engkau ya Allah, ampuni diri kami, kami datang ke sini semata-mata kerana-Mu, kami sewakan rumah kami semata-mata kerana-Mu, tanpa mahu membebankan sesiapa, kami berusaha untuk mudah-memudahkan sesama insani, lindungilah diri kami sekeluarga dan mereka yang baik soleh disekeliling kami, permudahkan kami, ampunilah kami."

Akhirnya, kesusahan, dugaan atau cabaran bertukar menjadi satu pengalaman yang memberi pengajaran, betapa besarnya limpah kasih dan esanya Allah swt. Segala-galanya terletak di atas kepercayaan dan keyakinan kepada yang Maha Satu!
********
Sudahnya, kami makan tengah hari dengan tenang berlaukkan Tomyam Campur yang sedap (encik suami yang menilai), telur dadar goreng, nasi putih minyak zaitun, ceria, lega dan syukur.
Terima kasih banyak-banyakbuat Haslaily, Baihaqi, Nadhira, adik-adik kampus (siapalah agaknya), juga tak dilupa asbab kebaikan dan prihatin Auntie jiran sebelah rumah berbangsa Cina dan Raihan jiran belakang rumah. Mohon untuk sama-sama doakan untuk Raihan bakal selamat melahirkan anak bulan hadapan. Raihan mengandung kali kedua. Anak yang pertama tidak sempat lama dalam dakapan ayah bonda, sudah dijemput Allah ke syurga. Bertahun-tahun juga mereka menanti cahayamata.  
Begitulah, serba ringkas perkongsian Ibrah dihari Jumaat yang Mulia ini. Setiap peristiwa sentiasa membawa sesuatu pelajaran dan pengajaran. Kita sentiasa akan belajar, belajar dan belajar.
Taqabalallahu minna waminkum.

~Bukan sekadar Baiti Jannati~
Perkongsian ikhlas min Italy, 
Ummu Mar'ie @MYNA.
12 Syawal 1435H
8 Ogos 2014M

1 comment:

  1. sukaaaaaaa!! merindui bumi Italia dan seluruh isinya. Wallahi.
    Allah sebaik-baik perancang. Yang penting kena tenang kan?

    ReplyDelete